Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata ini bagi mengelak sebarang spekulasi dalam kalangan rakyat mengenai hal itu.

"Saya pernah mengutarakan pada Kabinet, sama ada perlu atau tidak kerajaan umum secara rasmi perubahan harga minyak setiap minggu, sebab formula yang digunakan sudah pun dikenal pasti dan diketahui ramai," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor).

Bermula 29 Mac lalu, kerajaan menerusi KPDNKK melaksanakan kaedah pengapungan terkawal penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel secara mingguan dan pengumuman perubahan harga dilakukan melalui laman sesawang dan Facebook rasmi kementerian. - Bernama