Begitulah kehidupan Ruslida Kamarazaman, 38, yang hanya mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan RM10 sehari.

Ruslida berkata, dia tinggal bersama anaknya di kandang berdindingkan zink dan lantai kayu terpakai berkenaan sejak setahun lalu selepas diceraikan suaminya.

"Keputusan mendiami kandang kambing itu diambil selepas enggan menyusahkan ibunya yang sudah tua. Hasil perkongsian hidup selama 22 tahun, kami dikurniakan tujuh anak berusia antara 2 hingga 21 tahun.

"Hanya enam orang anak tinggal bersama saya, manakala seorang lagi bersama bekas suami. Selepas bercerai kami anak-beranak meneruskan hidup di kandang ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, tiga daripada anaknya kini bekerja di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

"Ketika ini hanya saya bersama tiga anak berusia dua, sembilan dan 13 tahun tinggal di bangsal kambing ini. Bangsal kambing ini juga tidak mempunyai bekalan elektrik dan hanya menggunakan lilin pada waktu malam," katanya.

Katanya, dia tidak pernah menyalahkan sesiapa kerana sebelum ini dia tidak pernah memohon bantuan rumah daripada pihak berwajib.

Ruslida bersyukur apabila tiga orang anaknya yang bekerja di kedai makan dan kilang tidak lupa mengirimkan sedikit wang belanja walaupun gaji mereka hanya cukup makan sahaja.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Ruslida di talian 011-3681 0278. - K! ONLINE