Terminal terletak di Jalan Jenulung, Seksyen 17 atau dikenali Terminal 17 sebelum ini ditutup untuk pengubahsuaian bermula Disember 2014 dan siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, terminal yang menelan kos sebanyak RM8.5 juta itu memulakan operasinya pukul 12 tengah malam tadi. 

Katanya, ia bakal dirasmikan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam masa terdekat.

"Terminal bas yang serba moden ini dilengkapi dengan Sistem Tiket Berpusat  dengan 10 buah kaunter dibuka bagi memudahkan orang ramai membeli tiket.

"Selain itu, terminal ini juga boleh memuatkan lapan buah bas di terminal berlepas dan enam buah untuk ketibaan pada satu-satu masa," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. 

Shahrin menambah, MBSA turut menyediakan ruang menunggu yang boleh menempatkan 300 orang penumpang pada satu-satu masa dengan kemudahan seperti kedai serbaneka, surau serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

Justeru itu, beliau menegaskan kesemua operasi di Terminal Bas Sementara Seksyen 13 telah ditutup sepenuhnya dengan semua perkhidmatan bas dipindahkan ke Terminal 17. 

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di terminal baharu itu mendapati rata-rata penumpang dan pengendali bas berpuas hati dengan sistem dan kemudahan disediakan di terminal tersebut. 

Seorang penumpang, Affan Roslan, 28, memberitahu, kemudahan yang ada di terminal sangat selesa dan boleh diumpamakan setanding TBS. 

"Terminal ini dianggap mesra pelanggan termasuk OKU dan dilengkapi paparan maklumat berkaitan ketibaan dan pelepasan bas. 

"Ini membuktikan komitmen MBSA dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan merasakan berbaloi menunggu hampir empat tahun menanti terminal ini disiapkan," katanya. - K! ONLINE