Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Md. Jais berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 11 malam ketika mangsa yang memandu kereta sedang mencari kedai makan.

“Mangsa bersama isteri serta anak lelakinya sedang mencari kedai makan. Bagaimanapun, kereta yang dipandu mangsa telah terlanggar cermin sisi sebuah kereta yang diletakkan di kawasan terbabit.

“Selepas kejadian itu, mangsa kemudiannya didatangi oleh pemilik kereta serta enam lelaki lain. Akibat tidak berpuas hati, pemilik kereta serta tujuh individu lain telah menyerang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian terbabit kemudiannya dileraikan oleh anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

“Pemilik kereta telah ditahan manakala tujuh individu lain melarikan diri. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami luka di bahagian kepala, tangan kiri dan belakang badan.

“Semakan keatas latar belakang suspek dan mangsa mendapati kedua-duanya tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. K! ONLINE