Kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu berlaku ketika pasangan suami isteri, Jafry Ibrahim, 46, dan Nor Hasliza Jamaludin, 38, bersama tiga anaknya sedang berbual dengan enam tetamu sambil menjamah kuih raya dan ketupat.

Dalam kejadian tersebut, Jafry yang cedera akibat ditimpa kayu terpaksa menerima 10 jahitan pada kepala di Hospital Jitra dekat sini.

Menurut Jafry, kejadian bermula dengan angin kencang disusuli hujan lebat sebelum bunyi kuat seperti letupan pada bahagian bumbung.

"Bekalan elektrik terus terputus menyebabkan kami panik dan hanya mampu menjerit sambil melaungkan azan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, dia sekeluarga bersama tetamu kemudian keluar dari rumah sebelum mendapati pokok kekabu sebesar dua pemeluk berusia lebih 20 tahun tumbang di atas bumbung rumah.

"Kepala saya cedera selepas ditimpa alang kayu ketika kejadian dan saya dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan," ujarnya. - K! ONLINE