Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya masih belum mengambil sebarang keterangan berikutan keadaan mereka yang masih tidak stabil.

"Kedua-dua beranak itu masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kita akan memberi ruang kepada mereka untuk pulih.

"Kita akan pastikan keadaan mangsa stabil dari segi mental, fizikal dan emosi sebelum merekod keterangan mereka dalam masa terdekat," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan pihaknya telah merekod keterangan suami wanita terbabit bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjun dari tingkat 10 pangsapuri  dan mereka bukanlah penghuni di pangsapuri berkenaan. 

"Mangsa dan suami beserta anak-anak mereka masih tinggal bersama dikawasan berhampiran lokasi kejadian," jelasnya.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan setakat ini mangsa yang berusia 34 tahun dan anak perempuannya yang berumur tujuh tahun itu tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan 

Kes masih disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang, Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut manakala kakak berusia tujuh tahun serta ibunya berusia 34 tahun parah selepas terjun dari sebuah pangsapuri di Taman Kepong. - K! ONLINE