Baginda bertitah, kecintaan terhadap Nabi Muhammad tidak cukup sekadar dizahirkan dengan kata-kata pujian dan sambutan Maulidur Rasul tetapi ia akan menjadi lebih bermakna dengan meneladani jejak langkah kehidupan Rasulullah dalam kehidupan seharian.

"Rasulullah dan para sahabat merupakan contoh terbaik yang memiliki akidah kental, ibadat konsisten dan akhlak terbilang sehingga muncul generasi terbaik dan cemerlang dalam segala lapangan hidup.

"Islam merupakan cara hidup yang menyeluruh. Islam itu mudah dan senang difahami, dihayati dan diamalkan sesuai dengan fitrah manusia," titah baginda sewaktu merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. - K! ONLINE