"Ini adalah keputusan Kabinet yang telah dibincangkan dan dipersetujui. Saya adalah ahli Kabinet, jadi saya perlu mengikut keputusan yang diputuskan oleh Kabinet," katanya semasa ditanya pendiriannya dalam isu itu.  

Zuraida berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada majlis penyampaian hadiah acara memanah Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang di Arena Mahkota di sini, hari ini. 

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang untuk membuat semakan tapak yang sesuai dijadikan Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan Lynas. 

Pembinaan PDF dalam tempoh enam bulan adalah antara syarat yang wajib dipenuhi Lynas dalam keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang itu, yang dijadualkan berakhir bulan hadapan, kepada tempoh enam bulan. 

"Kerajaan negeri akan mencadangkan tapak untuk PDF dan kerajaan Persekutuan akan membuat semakan sama ada sesuai atau tidak. Ia perlu mengikut garis panduan standard seperti berapa jauh dari penduduk dan kawasan perumahan. 

"Setakat ini, kita belum mendengar ada tapak yang telah dicadangkan, namun kita harap kerajaan negeri beri kerjasama kepada Lynas supaya mereka boleh membuat perancangan berhubung tapak PDF itu," katanya. - Bernama