Melihat Ainul Mardhiah sudah mampu tersenyum dan bermain walaupun tidak seaktif bayi sebayanya adalah satu kejayaan besar, bukan sahaja buat doktor yang merawatnya, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Laporan media yang melaporkan Ainul Mardhiah bakal menyambung rawatan di Malaysia telah menarik perhatian ramai, namun kepulangannya di Malaysia terpaksa ditangguhkan.

Dalam kemas kini akaun Instagram ibunya, Nurul Erwani Zaidi mendedahkan, Ainul Mardhiah sepatutnya pulang ke Malaysia pada 8 Julai lalu.

Meskipun segala persiapan telah dilakukan, perancangan untuk pulang ke tanah air terpaksa ditangguhkan kerana Ainul Mardhiah mengalami demam dan batuk yang tidak mengizinkan untuknya berada dalam kapal terbang.

Bagaimanapun, dalam gambar terbaharu, Ainul Mardhiah sudah boleh dibawa keluar untuk bersiar-siar di sekitar London dan perkembangan itu benar-benar melegakan serta menggembirakan hati seluruh rakyat Malaysia yang tidak berhenti mendoakan kesembuhannya.

Selain kecekalan dan ketabahan kedua-dua ibu bapanya dan semangat juang Ainul Mardhiah, satu hal yang menarik perhatian penulis daripada kisah anak kecil ini adalah bagaimana seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik bersatu hati membantunya.

Daripada sekecil-kecil bantuan seperti berkongsi berita Ainul Mardhiah, mendoakannya, menderma wang ringgit dan ada juga yang sanggup menjual harta benda demi mengumpul dana pembedahannya di London yang menelan kos lebih RM1 juta.

Dalam Allah memberi ujian kepadanya, seperti maksud nama Ainul Mardhiah iaitu bidadari tercantik di syurga, begitu mudah anak kecil ini memukau dan menambat hati rakyat Malaysia kepadanya.

Biarpun ramai dalam kalangan kita yang tidak pernah bertemu dengan Ainul Mardhiah, tetapi tanpa dipaksa-paksa, Allah hadirkan rasa kasih sayang yang tidak bertepi dalam diri kita kepadanya.

Pada masa yang sama, kisah Ainul Mardhiah menjentik rasa bersyukur setiap daripada kita. Apalah sangat dugaan yang kita hadapi berbanding kesakitan yang terpaksa ditanggungnya yang baru sahaja mengenal dunia.

Semoga Ainul Mardhiah segera sembuh dan semoga penyatuan hati kita sebagai rakyat Malaysia akan berterusan sampai bila-bila.