Memandangkan sekarang rancak perihal tulisan jawi dibahaskan, penulis rasa adegan seperti itu pantas menjentik hati. Teringat pula kenangan semasa kecil, apabila membuka buku telefon arwah nenek, semuanya bertulis tulisan jawi.

Seringkali juga apabila hendak mengirimkan kad Hari Raya Aidilfitri kepada­nya perlu ditulis dalam jawi kerana arwah nenek tidak mahir tulisan rumi.

Polemik mengenai tulisan jawi yang bermula awal bulan lalu seharusnya dilihat dari sisi positif. Jika tidak kerana ada yang menentang, khazanah tulisan berharga itu yang di ambang kepupusan, ia tidak akan diselongkar habis-habisan.

Usaha kerajaan untuk me­laksanakan pengenalan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat telah ditentang oleh pihak tertentu terutamanya Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Penentangan keras begitu memuncak sehingga banyak gerakan dan kumpulan yang muncul mempertahankannya dengan pelbagai hujah mengagumkan tentang jawi yang sering dipandang sepi

Aspek sejarah tulisan jawi dan ketinggian disiplin tulisan itu sendiri dibongkar.

Digunakan sebagai tulisan bagi bahasa Melayu sejak tahun 1300 dan itulah tulisan yang digunakan semasa ke­gemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca pada era kesultanan Melayu.

Bermakna, itulah tulisan yang diguna pakai oleh sesiapa sahaja tidak kira orang Melayu atau bukan Melayu dalam menyampaikan bahasa Melayu di dunia termasuk di tanah air ini.

Jawi dipercayai terancam sejak kehadiran rumi pada 1905 sebelum di ambang kepupusan pada 1960-an.

Tulisan jawi hakikatnya telah digunakan berabad-abad lamanya sedangkan tulisan rumi yang diper­kenalkan penjajah British baru kita gunakan kira-kira seabad.

Kemunculan tulisan jawi yang memiliki disiplin ilmu, sistem bahasa dan nahu tersendiri juga dikatakan membuktikan kebijaksa­naan ulama terdahulu dalam menangani kemasukan istilah Arab ke bahasa Melayu.

Hari ini kebanyakan orang Melayu sendiri baru ter­sedar mengenai tulisan jawi. Sebelum ini kita mungkin tidak begitu mengendahkannya namun kini ia mendapat perhatian tinggi.

Selama ini kita mungkin hanya memikirkan ia tidak lebih sekadar tulisan untuk menulis bagi subjek berkaitan agama Islam atau tulisan alternatif bagi rumi.

Natijah daripada perdebatan hangat mengenai jawi ini, sebuah majalah fesyen berhijab mengorak langkah proaktif dengan menyiarkan edisi jawinya yang nampak begitu elegan.

Stesen televisyen Al-Hijrah juga diumumkan menggunakan tulisan jawi dalam operasinya pada setiap Jumaat bagi mendokong aspirasi memartabatkan tulisan jawi.

Kerajaan negeri Johor pula akan menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi bagi tujuan urusan rasmi membabitkan semua jabatan dan anak syarikat di bawah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ)  bermula 1 Januari tahun hadapan.

Sesetengah sahabat bukan Melayu juga mula memaparkan kemahiran mereka dalam penulisan jawi di media-media sosial.

Terima kasih kepada para penentang kerana kentalnya penentangan anda menghangatkan isu ini sekali gus memperkasa perjuangan membangkitkan jawi daripada kubur.

Semua rakyat Malaysia seharusnya tahu mengenai jawi kerana jika tidak bagaimana mereka mampu menggali sejarah negara sendiri?