Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia merupakan sebuah projek perintis yang dijalankan dengan kerjasama daripada pihak Universiti Sultan Zainal Abidin, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Polis Diraja Malaysia.

"Pusat tersebut baru sebulan beroperasi dan setakat ini kita telah kenal pasti seramai 70 penagih dari sekitar daerah Kuala Nerus yang datang ke situ setiap hari untuk menjalani rawatan pemulihan.

"Selain diberikan rawatan, sukarelawan yang terdiri daripada para pelajar universiti itu turut menziarahi rumah-rumah penagih terbabit bagi memberikan bantuan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Apresiasi sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 dan penyerahan Sumbangan Tabung Kebajikan Polis di Wisma Darul Iman di sini hari ini. - K! ONLINE