Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata, sistem ERPH merupakan satu bentuk inovasi baharu diperkenalkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) bagi menggantikan buku rekod pengajar yang digunakan oleh guru.

"Buku rekod mengajar yang digunakan oleh para guru sekarang merupakan kaedah konvensional dan kita mahu gantikan dengan sistem ERPH iaitu penggunaan telefon pintar sebagai rujukan dqn catatan pengajaran di sekolah.

"Terengganu merupakan antara negeri yang menjadi perintis kepada sistem ini dan kita akan mulakan dengan 115 buah sekolah rendah dan 58 buah sekolah menengah bermula tahun hadapan sebelum diselaraskan penggunaannya di kesemua 505 buah sekolah menjelang tahun 2020," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Pembestarian Sekolah peringkat Terengganu di BTPN Marang di sin hari ini. 

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah BTPN Terengganu, Alias Talib dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Penyelarasan Bestari BTPN, Suhaimi Kadir. 

Mengulas lanjut, Shafruddin berkata, sistem ERPH tersebut telah diperkenalkan kepada para guru pada 31 Oktober lalu menerusi penglibatan empat orang tenaga penggerak utama yang diketuai oleh seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, Dr. Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al-Idrus. - K! ONLINE