Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kepakaran dimiliki FRIM dapat membantu kerajaan negeri mengenal pasti pokok yang perlu ditebang dan digantikan dengan pokok yang lebih sesuai.

"Jadi, melalui kepakaran FRIM ini, mereka akan kenal pasti pokok-pokok berisiko tumbang supaya kita boleh mengambil tindakan pencegahan agar tragedi pokok tumbang sehingga menyebabkan kematian di Batu Rakit di Kuala Nerus tidak lama dulu tidak berulang lagi.

"FRIM juga akan mengesyorkan tanaman sesuai kepada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu berdasarkan kepada beberapa faktor agar pokok ditanam terutama di kawasan tumpuan orang ramai tidak membahayakan keselamatan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Golden Pharos Berhad dan FRIM di sini hari ini.

FRIM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Latif Mohmod FRIM dalam menandatangani MOU itu manakala Golden Pharos pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak.

Pada 7 Oktober tahun lalu, dua maut termasuk seorang pelajar manakala tiga yang lain cedera parah selepas dua kenderaan yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Batu Rakit. - Bernama