Menteri Besar Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada dasarnya Terengganu hanya akan bersetuju jika pemberian royalti itu memberi keuntungan kepada kerajaan negeri bagi memastikan dana yang diperoleh dapat digunakan bagi pembangunan negeri dan menjaga kepentingan rakyat.

"Bagaimanapun jika perdana menteri umum untuk beri royalti 20 peratus berdasarkan keuntungan syarikat pengeluar minyak mengikut negeri, agihan hasil boleh jadi kurang atau lebih daripada yang kita kira sebelum ini.

"Oleh itu, sebelum membuat sebarang keputusan, kita akan tengok dengan lebih jelas lagi mana yang akan mendatangkan keuntungan kepada Terengganu," katanya ketika ditemui selepas majlis kutipan dana pendidikan di Rusila di sini semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas mengenai pemberian royalti berdasarkan jumlah keuntungan yang diperoleh negeri-negeri berkenaan.

Pada persidangan Dewan Rakyat 19 Julai lepas, Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan komited merealisasikan janjinya yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14, termasuk pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini. - Bernama