Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perwartaan tersebut melibatkan 10,386 hektar daripada 15,000 keluasan Taman Negeri Lawit-Cenana manakala Taman Negeri Setiu Wetland pula seluas 432.4 hektar bagi fasa pertama ini.

Beliau berkata, kawasan Tasik Berombak seluas 1088.32 hektar pula kini dalam proses untuk diwartakan bagi fasa kedua Taman Negeri Setiu Wetland.

"Kedua-dua taman negeri tersebut merupakan kawasan tadahan air yang penting bagi Terengganu. Sehubungan itu, perwartaannya sebagai taman negeri merupakan usaha pemeliharaan kawasan tadahan air yang menyumbang kepada sumber air bersih dan elektrik kepada rakyat negeri ini selain mengurangkan risiko kesan banjir.

"Ia juga lambang komitmen kerajaan negeri Terengganu dalam melindungi warisan asli dan alam semulajadi di negeri ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, Taman Negeri Lawit-Cenana telah dikenalpasti sebagai habibat pelbagai flora dan fauna termasuk beberapa spesies terancam seperti gajah Asia, tapir Malaysia dan harimau Malaya manakala Taman Negeri Setiu Wetland pula merupakan habibat bagi tuntung laut dan penyu agar. - K! ONLINE