Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, setakat ini negeri itu hanya mampu mengeluarkan 30,000 biji benih pokok kelapa pandan setahun di pusat pertanian Hulu Paka di Dungun.

"Jabatan dan agensi kerajaan berkaitan pertanian akan membantu peserta TGTP terlibat, sama ada dalam bentuk pemberian geran, pinjaman modal dan khidmat nasihat sekiranya mereka mahu menjalankan perniagaan semaian benih anak pokok kelapa pandan ini," katanya. 

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran Gelombang Tani Nasional peringkat negeri yang turut dihadiri Pengarah Pertanian Terengganu, Zulkefly Harun di sini hari ini. 

Melalui TGTP, semua peserta akan menerima elaun bulanan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,500 sepanjang enam bulan latihan berlangsung dan mungkin dilanjutkan enam bulan lagi mengikut kesesuaian.
 
Tambah Muhammad Pehimi lagi, penyertaan siswazah Terengganu dalam bidang pertanian adalah antara transformasi untuk golongan itu meningkatkan taraf sosioekonomi seterusnya menggalakkan mereka menjalankan perniagaan dalam bidang berkaitan.

"Bidang pertanian kini adalah antara sumber kekayaan baharu buat siswazah dan golongan belia. Apa yang perlu mereka lakukan ialah memilih jenis tanaman sesuai dan mereka akan dibantu jabatan dan agensi kerajaan sehingga terus berjaya," katanya. 

TGTP yang diperkenalkan Oktober tahun lepas adalah penjenamaan semula program Skim Penempatan Siswazah Terengganu (T-GAS) yang memberi peluang kepada golongan graduan meningkatkan kemahiran menerusi pelbagai bidang bagi memenuhi kehendak pasaran kerja.

Antara bidang latihan lain yang ditawarkan ialah pembinaan dan pembuatan, pengurusan, usahawan, pelancongan, perikanan serta penternakan. - Bernama