Khairy Jamaluddin berkata, pengisytiharan itu selaras dengan pencapaian konsisten Terengganu dalam pembangunan sukan berbasikal di peringkat pelapis sehingga mampu melahirkan juara dunia seperti Azizulhasni Awang dan ratu trek negara, Fatehah Mustapa.

Menurutnya, negeri itu turut mengukir satu lagi sejarah negara apabila Terengganu Cycling Team (TAG) menerusi pelumba importnya, Artem Overchkin berjaya merangkul jersi kuning dalam saingan peringkat akhir Le Tour de Langkawi 2018 baru-baru ini.

“Kejayaan-kejayaan tersebut membuktikan pelaburan negeri Terengganu dalam sukan berbasikal telah membuahkan hasil sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya selepas menyempurnakan majlis meletak batu asas Velodrom Berbasikal Negeri Terengganu di Kampung Balai Besar di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Khairy Jamaluddin turut mengumumkan penyerahan geran sebanyak RM1 juta yang akan disalurkan melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu bagi program-program pembangunan berbasikal. - K! ONLINE