Harapan itu ditegaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang mana penerapan sikap sedemikian amat penting kerana ia mampu mempengaruhi sikap masyarakat sekaligus menghindari unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan kestabilan negara.

"Kita mahukan negara ini maju termasuklah semua rakyatnya. Namun maju itu bukan sekadar pembangunan semata-mata, tetapi maju dari sudut sikap.

"Kita tidak akan pergi jauh jika adanya sikap buruk seperti hasad dengki, fitnah-memfitnah. Sikap inilah yang menyebabkan bangsa kita ketinggalan dalam pendidikan, ekonomi dan pentadbiran.

"Maka sebab itulah sikap murni seperti  jujur, ikhlas, rajin berusaha ini harus ditekankan oleh ibu bapa serta para pendidik kepada anak-anak dan pelajar dari awal," katanya yang turut menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Abu Bakar berkata demikian selepas majlis penyampaian sijil kepada 185 pelajar dalam Program Anugerah Kecemerlangan UPSR 2018 Mukim Beranang di SK Kampung Rinching, Semenyih pagi tadi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Rinching, Abdul Rahman Mokhtar. 

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar turut meninjau keadaan masyarakat Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini yang memerlukan pembinaan sebuah surau baharu. 

Malah, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Surau Al-Falah, Saharuddin Osman yang diharapkan menampung operasi harian surau itu yang ketika ini terletak di tingkat bawah pangsapuri berkenaan sejak 16 tahun lalu. 

"Sudah lama penduduk di kawasan ini tidak mempunyai sebuah surau yang lengkap. Sebelum ini, kami ada masalah tanah waqaf, tetapi kali ini masalah itu telah selesai. 

"Cumanya kami memerlukan bantuan kewangan untuk membina surau baharu untuk menempatkan kira-kira 500 jemaah," ujarnya. - K! ONLINE

Abu Bakar melihat tapak pembinaan sebuah Surau Al-Falah selepas Program Anugerah Kecemerlangan UPSR
Abu Bakar (tiga dari kiri) melihat tapak pembinaan sebuah Surau Al-Falah selepas Program Anugerah Kecemerlangan UPSR 2018 Mukim Beranang di SK Kampung Rinching, Semenyih pagi tadi.