Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini semua ahli dan pemimpin parti perlu kekal bersatu dan memberi fokus pada isu yang lebih besar daripada kedudukan Ahmad Zahid.

“Kita perlu memberi tumpuan memperkukuhkan parti, kalau tidak puas hati dengan keputusan Ahmad Zahid, parti kita ada perlembagaan. Setiap tiga tahun, ada pemilihan dalam parti.

“Jadi ketika itu nanti (pemilihan parti) kita fikirkan (kedudukan Ahmad Zahid). Cuma dalam keadaan sekarang, tidak perlu fikir soal jawatan dan soal pertandingan, banyak isu lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan Ahmad Zahid itu adalah sesuai pada waktunya memandangkan UMNO kini dilihat semakin kukuh di bawah pimpinan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Sebelum ini,  ketika pemilihan parti pada 30 Jun tahun lalu, jawatan Presiden UMNO menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Ahmad Zahid berjaya mengatasi bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah serta dua yang lain.

Ahmad Zahid menang selepas mendapat 93 undi, manakala, Khairy memperoleh 51 undi dan Tengku Razaleigh yang meraih 23 undi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri membayangkan wujud kumpulan dalam UMNO yang tidak senang dengan kembalinya Ahmad Zahid menerajui tampuk pimpinan parti tersebut. 

“Ia adalah masa yang sesuai (untuk Ahmad Zahid menamatkan cuti sebagai Presiden UMNO) bagi mereka yang bersetuju untuk beliau kembali, dan ia bukan waktu yang baik untuk mereka yang tidak bersetuju beliau kembali,” katanya. - K! ONLINE