Panglima Briged Kelapan Infantri Briged Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri berkata, rampasan tersebut diperoleh pihaknya bagi tempoh Ogos dan terkini pada awal pagi tadi hasil Ops Merpati dan Wawasan di kawasan sempadan.

"Antara barangan rampasan itu ialah beras, minyak masak, petrol, ayam beku dan juga ketum," katanya kepada pemberita di Pos Tok O, Rantau Panjang di sini, hari ini.

Muhammad Huzaimi berkata tiada tangkapan dibuat kerana penyeludup berjaya meloloskan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota tentera di kawasan terbabit.

Beliau berkata dalam operasi sama, pihaknya menahan tiga pedatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba menyeberangi Sungai Golok untuk masuk ke negeri ini.

"Aktiviti penyeludupan di sepanjang sempadan di negeri ini sedikit meningkat terutamanya pada musim perayaan berikutan barangan seludup mendapat pemintaan tinggi dari kalangan pengguna," katanya.

Muhammad Huzaimi berkata bagi membanteras aktiviti tersebut, anggota tentera melakukan rondaan 24 jam di kawasan sempadan.

Beliau berkata pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan masyarakat setempat supaya mereka dapat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada pihak berkuasa. - Bernama