Program kayuhan santai sejauh 155 kilometer itu bermula pukul 7.30 pagi di Aeon Big Kota Kemuning  melalui jalan-jalan di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori Road Race setelah tamat acara.

Lebih 1,400 peserta dari 12 negara seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Korea, India, United Kingdom, Switzerland, Jepun, Australia, Ukraine dan juga Malaysia menyertai program berkenaan.

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kassim berkata, acara itu merupakan penganjuran kali keenam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dilakukan setiap tahun.

"Acara ini bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Selangor dan kita menjangkakan peserta terutamanya dari negara luar akan dapat melihat sebahagian daripada kawasan Shah Alam," katanya ditemui pemberita selepas acara itu.

Tambahnya, MBSA komited melaksanakan program berbasikal yang semakin mendapat tempat dalam kalangan belia terutamanya di negeri Selangor.

Haris berkata, program itu juga merupakan satu platform oleh pihaknya untuk menganjurkan acara berbasikal bertaraf antarabangsa selaras dengan usaha untuk menjadikan Shah Alam bandar raya sukan.

"Program sebegini sesuai untuk memperkenalkan gaya hidup sihat dan bersesuaian dengan usaha MBSA untuk mempromosikan laluan basikal bagi menggalakkan aktiviti berbasikal dengan selamat dalam kalangan warga Shah Alam," katanya. - Bernama