Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pemain khususnya tidak boleh terus dibuai sejarah lama berikutan peminat mahu lebih daripada itu.

"Peminat mahu kita menjadi juara Asia, jadi kita mesti berfikiran lebih jauh dan menuju ke tahap antarabangsa.

"Beta juga berjanji akan beri yang terbaik untuk membawa Selangor kembali sebagai juara bola sepak malaysia," titahnya ketika berucap pada majlis pelancaran jersi ketiga dan memperkenalkan pemain Selangor musim 2019 di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Selangor akan menggunakan jersi ketiga mereka jenama Joma dengan berwarna hijau yang merupakan warna rasmi bagi Tengku Amir yang juga Raja Muda Selangor.

Antara barisan pemain yang diperkenalkan adalah Wan Zack Haikal Wan Noor, Abdul Latiff Suhaimi, Mohd Faiz Mohd Nasir, Mohd Amri Yahyah, Rufino Segovia .

Tengku Amir turut bertitah, perasaan cintanya terhadap bola sepak semakin menebal selepas lima bulan menjadi Presiden FAS.

Titahnya , pelbagai perkara telah dilakukan dalam mentransformasikan FAS sepanjang tempoh lima bulan itu dengan menggalakan ahli-ahli FAS bersikap lebih terbuka terutama dalam idea dan langkah-langkah baharu bagi memajukan persatuan tersebut.

"Zaman sekarang sudah lain dan banyak benda sudah berubah dan FAS sendiri harus berubah.

"Hari ini kali pertama dalam sejarah FAS sendiri menganjurkan Hari Bola Sepak Selangor. Beta ingin tunjukkan kepada semua bahawa FAS lebih progresif dan profesional kepada pemegang taruh FAS dan peminat khususnya," titahnya. - K! ONLINE