Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata, permintaan itu menunjukkan produk berkenaan merupakan antara salah satu makanan tradisional yang amat digemari rakyat.

Katanya, penghasilan tempoyak tidak menyukarkan kerana merupakan produk hiliran daripada isi durian yang diperam.

"Kita sekarang sedang melakukan mempromosikan tempoyak ini bukan digunakan untuk menu tradisonal seperti ikan air tawar seperti ikan patin malah menu antarabangsa.

"Dalam tinjauan saya di Kuantan, seorang chef memperkenalkan menu kanapis dengan meletakkan tempoyak di dalam roti Perancis yang telah disapu mayonis dan salad," katanya ketika ditemui selepas merasmikan cawangan kedua Restoran Claypot Patin Tempoyak Temerloh di Seksyen 27 di sini hari ini.

Turut hadir pemilik restoran tersebut, Azlina Mohamad Remly. 

Ahmad memberitahu, tempoyak juga kini semakin dikenali Eropah, Singapura dan Amerika apabila terdapat syarikat tempatan telah mengeksport produk tersebut ke negara tersebut.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan tempoyak boleh setanding makanan tradisional Korea, kimchi yang mendapat permintaan orang ramai.

"Di Korea, mana-mana restoran meletakkan kimchi sebagai antara menu mereka yang mana merupakan sos cili diperap dengan kubis panjang.

"Sehubungan itu, kita boleh menimbulkan perasaan bangga terhadap produk tempoyak ini dengan menjadikan menu wajib juga," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad menegaskan pihaknya kini sedang mempertingkatkan permintaan terhadap ikan air tawar kepada sasaran 50 peratus berbanding kini hanya 20 peratus sebagai alternatif ikan laut. - K! ONLINE