Timbalan Komander Projek syarikat tersebut Steve Hu berkata tembok kontroversi  itu, hanya  bertujuan melindungi aset bernilai tinggi dan menjaga keselamatan pekerja Alliane Steel (M) Sdn Bhd. 

Beliau mendakwa tembok itu tidak mempunyai motif tersembunyi melainkan umpama  pagar di rumah kediaman sahaja.

Beliau berkata demikian sebabgai mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  baru-baru ini yang dilaporkan mahu supaya tembok yang digambarkan oleh penduduk tempatan sebagai "Tembok Besar China Kuantan" itu dirobohkan. 

"Taman industri itu bukan negara asing, ia masih lagi tertakluk kepada undang-undang Malaysia, menghalang pegawai tempatan masuk bukan perkara yang seharusnya dilakukan," kata Dr Mahathir.

"Kami sangat berharap tembok itu tidak perlu dirobohkan  kerana ia penting dalam melancarkan operasi kami. Ia untuk melindungi harta benda di dalam kilang yang mahal memandangkan ada mesin beroperasi beterusan secara automatik dan ada kalanya tanpa kawalan manusia," kata Hu kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kebangsaaan Malaysia di premis kilang itu. 

Selain itu, Hu berkata tembok tersebut juga adalah untuk  menjaga keselamatan pekerja selain mengelakkan binatang buas masuk ke dalam kilang memandangkan lokasinya yang hampir dengan hutan. 

Beliau tidak menolak kemungkinan persepsi negatif  terhadap syarikat itu disebabkan kesilapan mereka sendiri  dalam menjalin hubungan dengan masyarakat setempat  atau mempromosi pendirian sebenar syarikat. 

"Kami akui kesilapan itu dan sedang berusaha untuk menjalin hubungan erat dengan masyarakat setempat, termasuk menganjurkan pelbagai program berkaitan perayaan di Malaysia seperti  sambutan Hari Kebangsaan ini. 

"Kami berada di sini dan menghormati budaya Malaysia serta mencuba sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri...malah kebajikan pekerja tempatan juga dijaga sebaik mungkin termasuk menyediakan surau, kantin dengan  makanan halal dan hostel pekerja," katanya. 

Hu menambah pihaknya juga menitik beratkan usaha melatih pekerja tempatan bagi meningkatkan kemahiran sekali gus melayakkan mereka mengisi jawatan tertinggi dalam pengurusan syarikat pada masa hadapan. - Bernama