Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sedang meneliti kembali pembentangan kertas tersebut.

Katanya, memang kelaziman Sultan Sharafuddin melihat segenap aspek dan mendengar pandangan semua pihak (berhubung pindaan tersebut).

"Setelah perundingan dengan semua pimpinan parti di Selangor dan termasuk Persekutuan, saya akan merujuk kembali kepada Sultan Sharafuddin.

"Bagi saya ada baiknya perkara ini tidak dibawa (dibentangkan) hari itu (sidang Dewan Undangan Negeri)  bagi memberi ruang untuk kita bincang dengan lebih terperinci terhadap persoalan ini dan selepas itu barulah saya akan tuntaskan kepada Sultan Selangor," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan pindaan berkenaan yang menjadi polemik politik di Selangor sehingga timbul isu undi tidak percaya dan penyingkiran Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim. 

Amirudin bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pindaan enakmen itu akan dibentangkan pada sesi akan datang atau tidak. 

Menjawab pentanyaan mengapa isu tersebut dibangkitkan semasa pentadbiran beliau, Amirudin menegaskan ada beberapa pertimbangan perlu dilihat kerana ia melibatkan perancangan serta penyusunan daripada pihak berkuasa agama. 

"Sebelum ini sepatutnya dibawa pada tahun sebelum ini dan semua pihak sedang menelitinya. Bila sudah buat keputusan baharu kita fikirkan langkah seterusnya. 

"Pindaan enakmen ini juga mendapat sokongan yang dinyatakan secara terbuka oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Pas, Alhamdulillah dan saya gembira," katanya.
 
Mengulas mengenai intipati pertemuan empat EXCO Selangor dengan Sultan Sharafuddin, beliau menjawab:

"Saya tak terlibat dalam pertemuan itu jadi saya harus rujuk kembali (empat exco). Sekarang cuti dan saya harus teliti balik mengenai perbincangan itu," katanya. - K! ONLINE