Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program perintis melibatkan kawasan tanaman padi berskala besar itu dikendalikan lebih 20 penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, program tersebut bermula daripada benih yang dihasilkan oleh penyelidik UPM termasuk pengurusan sawah, teknologi baja serta kawalan makhluk perosak bagi membantu para petani memastikan kesuburan padi seterusnya menikmati peningkatan dari aspek penghasilan.

“Kita menggalakkan petani menerima inovasi  menerusi penyelidikan demi kebaikan mereka sendiri.

“Menerusi teknologi ini, dron dikawal secara jarak jauh bagi membantu petani mengenalpasti masalah tanaman daripada peringkat awal serta langkah pencegahan yang dapat diambil dalam kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Teknologi Dron PadiU Putra di Kampung Gong Guchil dekat sini hari ini.

Turur hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian,  Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk  Muhammad Pehimi Yusof.

Idris yang juga merupakan Ahli Parlimen Besut berkata, sejak lebih setahun lalu para penyelidik UPM turun ke lapangan bagi menjalankan pelbagai bentuk penyelidikan dalam merealisasikan hasrat penuaian hasil padi sebanyak 10 metrik tan sehektar. - K! ONLINE