Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perbincangan dengan pakar dalam teknologi AI juga sedang dilakukan bagi mengoptimumkan rantaian bekalan perkhidmatan di fasilti kementerian.

“Kita akui bahawa AI tidak dapat mengantikan kepakaran manusia dan teknologi ini sebenarnya menjadi penghubung atau pemudah cara untuk sesuatu pembelajaran yang baharu.

“Kita akan terus menggunakan kepakaran manusia namun, pada masa yang sama kita tidak menafikan kepentingan teknologi berkenaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai teknologi itu, Dzulkefly ketika ditemui pemberita berkata, teknologi AI akan digunakan dalam pelbagai program kesihatan antaranya memerangi jangkitan denggi.

“Teknologi ini juga akan digunakan dalam program lain termasuk mengenal pasti tempoh masa menunggu. Segala butiran tentang lapan visi AI akan saya berikan nanti secara teratur kelak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan  juga sedang merancang untuk melaksanakan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

"Malu kita sekiranya Vietnam mempunyai EMR dalam masa dua tahun akan datang. Sistem itu juga telah dilaksanakan di negara Timur Tengah iaitu Turki.

"Sewaktu saya melawat Turki, negara itu bukan sahaja sudah laksanakan EMR malah mereka telah menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat Hospital (HIMS),” katanya.

Mengulas lanjut, jelasnya, Malaysia mempunyai kehebatan untuk melaksanakannya EMR namun, ia memerlukan masa untuk mengorak langkah ke arah melaksanakan sistem berkenaan.

Tambah Dzulkefly, buat masa ini beliau tidak mahu mendedahkan maklumat mengenai EMR sehingga kertas kerja lengkap mengenai pelaksanaan EMR bersedia sepenuhnya. - K! ONLINE