Pengurus kanan (operasi) TBS, Faizal Redza Redzuan berkata, mengikut sistem tiket untuk tempoh 31 Mei - 9 Jun, kira-kira 140,000 orang telah membeli tiket ke terminal bas TBS, majoriti mereka dijangka tiba pada  Sabtu dan Ahad.

"Kami juga menganggarkan kira-kira 1,000 bas dari utara, selatan dan pantai timur semenanjung memasuki TBS pada hujung minggu," katanya kepada Bernama.

Di samping itu, beliau berkata kira-kira 11,000 orang akan bergerak keluar ke pelbagai destinasi dari TBS.

Menurut Faizal, tiket masih ada bagi mereka yang hendak meninggalkan Kuala Lumpur dengan perkhidmatan bas tambahan yang disediakan untuk tujuan itu.

"Kami telah menyediakan bas tambahan dari Kuala Lumpur ke destinasi 'panas' seperti Ipoh, Butterworth, Muar, Melaka, Batu Pahat dan beberapa lokasi lain," katanya.

Tiket bas boleh dibeli secara dalam talian, di kaunter serta kiosk tiket layan diri.

Beliau juga berkata, TBS bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia untuk memastikan semua bas berada dalam keadaan baik dan pemandu dalam keadaan sihat untuk menjalankan tugas mereka.

Zaizal mengingkatkan semua penumpang agar berada di TBS 45 minit sebelum bas bertolak untuk keselesaan perjalanan. - Bernama