Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, 18 orang GRO warga asing bertubuh gebu dicekup ketika sedang leka melayan pelanggan dengan menyanyi dan menari di atas pentas.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) (Perancangan/Strategik) Selangor, Asisten Komisioner Rahmat Othman berkata, polis mendapat maklumat daripada orang ramai yang memaklumkan bahawa restoran tersebut menjalankan kegiatan haram.

“Ketika serbuan dibuat, terdapat kira-kira 20 pelanggan yang sedang leka menonton persembahan tarian dan nyanyian beberapa GRO pada pentas utama di restoran tersebut.

“Polis telah menahan 12 wanita warga China dan enam wanita warga Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 30-an yang bekerja sebagai GRO di situ,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini awal pagi ini.

Serbuan tersebut dijalankan oleh 143 pegawai dan anggota JPJKK Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerusi Operasi Cegah Jenayah Bersepadu Khas yang dijalankan secara serentak di sekitar daerah tersebut.

Rahmat menambah, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua GRO tersebut mempunyai pas lawatan sosial bagi memasuki negara ini.

“Polis turut menahan kira-kira 20 pelanggan restoran tersebut bagi pemeriksaan lanjut dan ia dipercayai sudah aktif sejak lima bulan lalu. Walaupun sebelum ini pernah diserbu, tetapi pemilik restoran itu masih berdegil menjalankan aktiviti haram demi mendapatkan lebih ramai pelanggan terutamanya golongan lelaki yang mahukan khdimat GRO untuk menghiburkan mereka.

“Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Kajang bagi membolehkan ujian air kencing dijalankan untuk mengenal pasti jika ada sebarang bahan terlarang di dalam tubuh mereka,” ujarnya yang turut mengetuai beberapa serbuan di daerah itu dan turut disertai Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff.

Beliau berkata, melalui operasi yang bermula pada pukul 10 malam kelmarin dan berakhir hingga pukul 6 pagi semalam, polis telah menyerbu 20 lokasi yang melibatkan premis judi, pusat hiburan serta beberapa kawasan yang mempunyai rekod jenayah yang tinggi selain turut membuat sekatan jalan raya di beberapa laluan lebuh raya di sekitar daerah itu.

“Daripada 156 individu yang diperiksa, seramai 30 individu telah ditahan bagi pelbagai kesalahan antaranya positif ujian air kencing.

“Sebanyak 111 kenderaan turut diperiksa dalam sekatan jalan raya yang dilakukan di sekitar daerah ini dan sebanyak 34 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya turut merampas bungkusan dadah jenis syabu dan beberapa peralatan audio, modem serta kalungan bunga di restoran tersebut.

“Kami juga telah menyerbu sebuah pusat hiburan keluarga di Cheras di sini dan menahan seramai 25 lelaki warga tempatan berusia antara 18 hingga 25 tahun yang antaranya merupakan pelajar kolej swasta di kawasan berdekatan.

“Daripada kesemua yang ditahan, seorang daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kesemuanya kini ditahan di IPD Kajang,” katanya. - K! ONLINE