Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, antara negeri terjejas ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu dengan kerosakan dianggarkan bernilai RM20 juta.

"Kementerian sedang mengambil tindakan segera membaiki kerosakan yang berlaku dengan menyalurkan peruntukan kecemasan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta agensi terlibat supaya tindakan pembaikan dapat dilaksanakan serta-merta," katanya di sini hari ini.

KPM berkata, setakat pukul 5 petang tadi, Kedah merekodkan kerosakan di 115 buah sekolah, tiga buah kompleks kuarters, sebuah institut latihan dan dua buah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Menurutnya, Pulau Pinang pula merekodkan kerosakan di 101 buah sekolah, empat buah kompleks kuarters dan dua buah institut latihan, Perlis (58 sekolah) dan Selangor (32 sekolah serta sebuah IPTA).

"Terengganu mencatatkan kerosakan di tujuh buah sekolah dan sebuah institut latihan manakala Perak dan Pahang masing-masing satu kerosakan di sebuah IPTA dan sebuah sekolah," katanya. - K! ONLINE