Pengusaha taska berkenaan, Minarni Mohd. Hussain berkata, walaupun Kedah tidak serius seperti Pulau Pinang, namun langkah pencegahan tetap diambil dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Antaranya ialah dengan menutup sementara taska itu pada Isnin lepas untuk kerja-kerja pembersihan  yang menggunakan cecair pembasmi kuman untuk mencuci kemudahan dan peralatan pembelajaran yang disediakan di sini.

"Ini adalah inisiatif kita sendiri dan Alhamdulillah ibu bapa semuanya faham wabak ini dan menyokong usaha kita dengan mereka hadir bersama kita dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang untuk membantu pihak taska, kita juga mendapat kerjasama daripada tukang kebun MADA yang membersihkan longkang dan lantai premis," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Minarni berkata, pihak taska juga sentiasa memeriksa tubuh badan bayi dan kanak-kanak yang dihantar oleh waris pada setiap pagi bagi mengesan jika terdapat simptom HFMD seperti ruam dan ulser di dalam mulut. - Bernama