Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, data statistik tersebut membuktikan keberkesanan sistem pendidikan negara serta tahap kesedaran masyarakat Malaysia untuk mendapat kelulusan akademik terbaik semakin meningkat.

"Pekerja di bawah taraf kelulusan SPM atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) pada 2015 merekodkan sebanyak 2.1 juta pekerja berbanding 2.4 juta pada 2010 iaitu berkurangan sebanyak 2.8 peratus. 

"Manakala taraf pendidikan pekerja di negara ini yang berkelulusan diploma, sijil dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) merekodkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 14.6 peratus pada tahun 2015 berbanding 2010," katanya pada pembentangan  Penerbitan Parameter Banci Ekonomi 2016 Bagi: Statistik Mystate, Statistik Pekerja dan Gaji & Upah serta Statistik Halal di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Uzir, berdasarkan statistik itu, kira-kira 1.9 juta pekerja di negara ini mempunyai kelulusan diploma, sijil dan STPM berbanding pada 2010 iaitu kira-kira 984,000. 

"Untuk kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia/ Vokasional (SPM/SPMV) atau yang setaraf, direkodkan kira-kira 3.7 juta pekerja pada 2015 berbanding 2.9 juta pada 2010 iaitu peningkatan 5.0 peratus dan angka ini masih dominan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Statistik Pekerja dan Gaji & Upah menunjukkan seramai 8.7 juta orang direkodkan bekerja di sektor formal swasta pada 2015 berbanding 6.9 juta orang pada 2010 dengan peningkatan purata pertumbuhan tahunan 4.7 peratus.

"Daripada keseluruhan bilangan ini, 67.7 peratus (5.9 juta orang) merupakan pekerja lelaki manakala 3.2 peratus (2.8 juta orang) adalah pekerja perempuan.

"Sektor perkhidmatan mencatatkan bilangan pekerja tertinggi iaitu 4.8 juta orang (5.9 peratus) diikuti dengan sektor pembuatan 2.1 juta orang (24.3 peratus) dan sektor pembinaan 1.3 juta pekerja (14.8 peratus)," katanya.

Tambah beliau, dari segi lokasi Selangor merekodkan bilangan pekerja tertinggi iaitu sebanyak 2.3 juta orang (26.1 peratus) diikuti Kuala Lumpur  1.4 juta orang (16.6 peratus).

Katanya, sejumlah RM245.7 bilion gaji dan upah dibayar pada tahun 2015 berbanding RM154.1 bilion pada 2010 dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 9.8  peratus. 

"Sektor perkhidmatan mencatatkan nilai tertinggi sebanyak RM1 bilion dengan sumbangan 53.5 peratus yang diikuti oleh sektor Pembuatan RM65.5 bilion (26.7 peratus) dan sektor pembinaan RM32.9 bilion (13.4 peratus).

"Secara purata, setiap pekerja memperoleh gaji bulanan sebanyak RM2,594 sebulan pada tahun 2015 berbanding RM2,044 yang diterima pada tahun 2010," katanya. - K! ONLINE