Pelbagai aplikasi sembang juga membantu penyebaran berita dan maklumat palsu dengan mudah.


Di negara-negara Barat, penyebaran berita seperti itu dikenali sebagai peperangan psikologi bagi mendapatkan keuntungan politik dan kewangan.


Ketika ini terdapat tuduh-menuduh yang berlaku apabila Rusia dianggap sebagai penyebar berita palsu oleh negara-negara Barat.


Kemunculan semakin banyak berita tidak benar telah menyebabkan Barat melakukan kajian terpeĀ­rinci.


Satu kajian yang dijalankan pada tahun lalu di Britain mendapati lebih separuh pengguna media sosial tidak memeriksa kembali sumber asal berita yang mereka terima sebelum berkongsi dengan rakan mereka.


Bagaimanapun, di negara ini maklumat tidak benar kerap disebarkan melalui aplikasi WhatsApp yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.


Apa yang menyedihkan terdapat golongan profesional dan bawahan yang terpedaya dan terpengaruh dengan maklumat palsu melalui aplikasi itu.


Maklumat tidak sahih yang disebarkan itu meliputi pelbagai topik sama ada politik, ekonomi, sosial dan jenayah dengan tujuan untuk menimbulkan keresahan dalam masyarakat.


Penyebar maklumat palsu itu akan berasa gembira jika pembacanya berasa gelisah dan tidak tenteram selain dikongsi pula oleh pengguna aplikasi WhatsApp.


Kegembiraan si penyebar itu pula walaupun tidak bertahan lama tetapi misinya adalah untuk menghuru-harakan masyarakat telah berjaya dicapai.


Maklumat dan berita palsu juga menyebabkan terdapat ahli-ahli kumpulan WhatsApp saling berbalah sesama mereka. 


Ada juga ahli yang bertindak meninggalkan kumpulan WhatsApp selepas berdebat hanya mengenai maklumat tidak benar.


Antara cara untuk menghentikan maklumat palsu itu adalah dengan tidak menyebarkannya selepas menerimanya.


Penulis pernah ditanya bagaimanakah hendak mengetahui sama ada sesuatu bahan yang ditularkan itu benar atau tidak.


Sebenarnya, maklumat palsu itu boleh diperiksa kesahihannya melalui carian di internet. 


Kemampuan seseorang itu menguasai pengetahuan am melalui pembacaan juga merupakan satu kelebihan bagi mengetahui sama ada ia benar atau tidak.


Jika diteliti, maklumat palsu yang disebarkan di media sosial itu tidak menyatakan sumber sah makluman tersebut.


Berikutan penularan maklumat palsu, agensi-agensi kerajaan  terpaksa melakukan tugasan tambahan dengan membuat penafian melalui laman web dan akhbar. 


Pihak tidak bertanggungjawab itu akan muncul selagi ada sebahagian rakyat Malaysia yang mempercayai dan berkongsi maklumat palsu tersebut di media sosial.


Tanpa disedari pencipta makluman tidak sahih itu telah merendahkan tahap pemikiran pengguna aplikasi media sosial kerana mereka mudah diperdayakan di internet.


Justeru, adalah lebih baik memeriksa dahulu kesahihan sesuatu maklumat yang diterima sebelum mempercayainya secara membuta-tuli.