Sedar atau tidak, individu di sekeliling memberi pengaruh. Baik dari segi cara pemakaian, pengambilan suatu produk mahupun pertuturan.

Adat manusia untuk sentiasa mengikut trend semasa dan antara trendsetter atau individu yang mencetuskan ikutan ini adalah dalam kalangan selebriti, baik pelakon, pe­nyanyi, model, pengacara televisyen­ mahupun personaliti radio dan ahli politik.

Tambahan pula, dalam era media sosial sekarang, capaian golongan berpe­ngaruh ini amat besar berbanding sebelum dunia internet wujud. Pemilikan gajet-gajet pintar bukan sahaja tergolong dalam kalangan dewasa, tetapi juga golongan remaja dan kanak-kanak yang minda mereka masih lagi dalam fasa mengenali dunia. 

Tidak hairanlah bagaimana aktiviti pemasaran hari ini memberi tumpuan ter­hadap pelantikan wajah atau duta produk, khusus­nya dalam kalangan selebriti yang terkenal kerana pe­ngaruh yang mereka miliki.

Kontroversi yang melanda seorang selebriti tempatan yang mempromosikan makanan tambahan yang didakwa memberi kesan kulit yang putih berseri kepada pengguna tetapi juga sesuai untuk bayi serta kanak-kanak menerusi laman Instagram peribadi tetapi terbuka kepada umum merupakan satu contoh pengaruh yang dimiliki insan-insan ini.

Rata-rata pihak mengecam tindakan itu ter­utamanya apabila melibatkan kesejahteraan kesihatan si kecil yang masih bergantung dengan tindak-tanduk ibu bapa dan penjaga mereka.

Tetapi paling penting, konsultasi dengan pakar perubatan diperlukan terlebih dahulu sebelum memberikan suatu suplemen tersebut. 

Sungguhpun telah menjadi individu yang berjaya dengan rata-rata pihak ingin mendapat khidmat golongan berpengaruh ini dalam kempen-kempen perniagaan mahupun suatu produk, individu terpilih seharusnya tidak alpa dengan tanggungjawab yang mereka sandang.

Ia bukan sekadar untuk melariskan suatu produk tetapi juga mewujudkan kesedaran terhadap manfaat yang ada. 

Kajian perlu dilakukan sebelum bersetuju untuk menjadi duta produk atau perkhidmatan terbabit, malah jika didapati ia me­langgar prinsip atau pendirian, sewajarnya untuk mengatakan “tidak” secara hormat.

Janganlah dikaburi dengan nilai mata wang ataupun kesan produk pada diri sendiri, sekiranya sememangnya mengamalkan produk itu, tetapi melihat sesuatu pada konteks yang lebih meluas. 

Sentiasa bertanya, sentiasa membaca dan sentiasa sedar. Ya, ada kalanya kita khilaf dan tersilap tetapi jadikan ia sebagai pengajaran untuk mempertingkatkan diri dengan ilmu yang diperlukan.

Oleh itu, menjadi duta suatu produk sememang­nya satu tanggungjawab yang besar, biarpun ia untuk suatu produk yang pasarannya mungkin terhad.

Menerima kritikan ramai juga merupakan sebahagian daripada asam garam mereka yang menjadi duta produk atau perkhidmatan ini. 

Terimalah ia dengan fikiran terbuka dan menghargainya, manalah tahu dengan sikap rendah diri itu akan lebih melariskan lagi suatu yang dipromosi ataupun mengambil pendekatan yang lebih baik dan diterima ramai.

Selain itu, daripada persepsi pengguna, kita perlu melihat suatu kontroversi yang wujud untuk meningkatkan lagi penge­tahuan dan memperbaiki diri ke arah jalan yang lebih baik.