Mujur tiada dalam kala­ngan mereka yang perlu dirujuk untuk menjalani rawatan lanjut, namun apa yang me­nimpa pelajar-pelajar itu menunjukkan masalah pencemaran udara di kawasan Pasir Gudang sebenarnya masih berlaku.

Ironinya, sejak pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu tercetus, masalah udara tercemar di kawasan perindustrian itu kelihatan begitu sukar untuk diatasi walaupun pelbagai tindakan serta langkah tegas telah diambil oleh pihak berkuasa.

Secara hakikatnya, masalah pencemaran ini sebenarnya bukan sahaja berlaku di Pasir Gudang, malah turut berlaku di tempat-tempat lain di seluruh negara.

Masalah pencemaran udara, sungai, hutan dan pelbagai lagi sebenarnya turut menghantui penduduk di beberapa tempat lain khusus­nya di kawasan yang terletak berhampiran dengan lokasi perindustrian.

Cuma tinggal lagi, masalah pencemaran yang berlaku di tempat-tempat lain masih lagi tidak menyebabkan penduduk di sekitar mereka mengalami masalah kesihatan seperti apa yang berlaku di Pasir Gudang. Kalau ada pun, mungkin hanya kesan jangka panjang yang sukar untuk dikaitkan dengan masalah pencemaran yang berlaku di sekitar mereka.

Apa yang pasti, masalah ini berlaku mungkin dise­babkan sikap kurang tegas pihak berkuasa dalam tindakan penguatkuasaan, operasi pemantauan dan menangani salah laku para pengusaha kilang yang tidak bertanggungjawab.

Pihak berkuasa selama ini agak bernasib baik kerana sikap kurang tegas mereka terlindung kerana tiada kejadian yang menimpa penduduk, namun selepas apa yang berlaku di Pasir Gudang, maka terbongkarlah segala kelemahan di pihak yang melaksanakan tindakan penguatkuasaan itu.

Dalam kes di Pasir Gudang misalnya, operasi kilang-kilang haram yang selama ini bagai ‘gagal dikesan’ telah dapat dikenal pasti.

Selain itu, tindakan peng­usaha kilang yang melepaskan sisa buangan mereka secara salah serta tidak sistematik dan macam-macam lagi kesalahan mula dapat dihidu pihak berkuasa.

Kadangkala tertanya-ta­nya juga, apa yang mereka buat selama ini?

Penulis sebenarnya bukan berniat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, cuma sekadar ingin memberi peringatan kepada pihak berkuasa khususnya kepada pihak berkuasa tempatan, pihak yang bertanggungjawab menjaga alam sekitar serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam kegiatan yang boleh mendatangkan mudarat kepada masalah pencemaran khususnya di tempat-tempat lain selain Pasir Gudang agar turut memberi perhatian kepada permasalahan ini di tempat mereka.

Pemantauan berterusan dan tindakan tegas perlu dilakukan sepanjang masa supaya pihak-pihak yang didapati menjadi penyebab kepada masalah ini tidak dibiarkan bermaharajalela dan dikenakan tindakan tegas.

Rasanya, operasi kilang haram, kilang kimia dan pelbagai lagi kilang yang boleh mendatangkan mudarat kepada alam sekitar tidak hanya beroperasi di Pasir Gudang, malah turut berope­rasi di tempat-tempat lain.

Jadi, bertindaklah dari sekarang dan lakukan peman­tauan ketat dari semasa ke semasa di kawasan yang berpotensi untuk berlaku masalah ini.

Sudah-sudahlah buat-buat tak nampak terhadap operasi kilang-kilang haram yang terdapat di kawasan masing-masing. Serbu dan tutuplah operasi kilang tersebut demi kepentingan umum.

Tak payahlah tunggu sehingga ada penduduk kena masuk hospital atau mati baru terhegeh-hegeh nak bertindak.