Mesej yang diterima menerusi WhatsApp beberapa minggu sebelum berangkat ke Mesir pada awal tahun ini itu sedikit sebanyak mengganggu saya. Jika dilihat pada jadual lawatan, kami banyak bergerak dari satu wilayah ke wilayah lain yang pastinya tandas adalah satu keperluan.

Salah seorang rakan yang baru pulang bermusafir di bumi Firaun itu turut bersetuju bahawa memang sukar untuk mencari tandas yang bersih di sana.

Inilah antara dilema menjadi musafir wanita. Tidak boleh ‘membuang’ merata- rata dan sesuka hati seperti lelaki.

Sebagai individu yang agak cerewet tentang kebersihan tandas, saya perlu bersedia dengan ujian kecil ini. Pada hari pertama berada di salah sebuah restoran di Kaherah, dakwaan tersebut benar.

Ketiga-tiga tandas yang terdapat di restoran tersebut bukan saja tidak boleh digunakan kerana vandalisme tetapi penggunanya tidak tahu fungsi alat pengepam selepas mencuci perut!

Ia terlalu kotor dan menjijikkan. Saya hilang selera untuk menikmati makan malam meskipun perut sudah minta diisi. Kali terakhir menjamah makanan ketika dalam pesawat sekitar pukul 11 pagi.

Menu yang terhidang di atas meja terasa hambar. Rasa lapar yang membuak-buak selama 10 jam tadi hilang serta-merta.

Ia cukup berbeza dengan budaya masyarakat di beberapa buah negara yang pernah saya lawati atas urusan kerja seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan serta beberapa negara Eropah.

Tandas mereka bukan saja bersih bahkan ia um­pama ruang tamu yang sedia menyambut tetamu sehingga kita rasa bersalah jika mengotorinya.

Saya keliru. Di negara majoriti penduduknya bukan beragama Islam tetapi begitu menitikberatkan soal kebersihan. Sebaliknya, di Mesir 90 peratus populasinya yang merupakan Muslim tidak begitu mengendahkan tuntutan menjaga kebersihan se­perti yang digariskan agama.

Ia tidak banyak bezanya dengan sikap segelintir rakyat Malaysia. Tahap kebersihan tandas awam masih mengecewakan seperti yang diluahkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini. Adakah mereka di rumah juga begini? Sanggupkah mereka menghidu bau busuk tandas dan kotor di rumah sepanjang masa?

Trauma berdepan tandas kotor ini bagaimanapun terhakis apabila berada di lapangan terbang Kaherah untuk ke Aswan. Begitu juga di kawasan Rawat & Rehat di padang pasir ketika dalam perjalanan menuju ke Abu Simbel.

Saya menarik nafas lega kerana bukan semua kemudahan tandas di Mesir buruk seperti yang digambarkan.

Di Abu Simbel, yang terletak kira kira 1,116.7 kilometer dari Kaherah, kebersihan tandasnya juga layak diberi 4 bintang. Tandas yang bersih sudah memadai. Di kebanyakan kawasan pelancongan, kemudahan tandas mudah diperoleh.

Di Kaherah, untuk mendapatkan tandas yang bersih ia mungkin satu cabaran, tetapi di kebanyakan kawasan pelancongan tandasnya tidak mengecewakan.

Sebagai umat Islam, kita dituntut menjaga kebersihan zahir dan batin kerana ia sebahagian daripada iman. Bersih bukan saja dari aspek fizikal bahkan ia meliputi kesucian hati.

Pentingnya menjaga kebersihan ini sehinggakan kesempurnaan ibadah solat hanya dapat dicapai apabila seseorang itu bersih daripada hadas kecil dan besar.

Saya enggan mengulas panjang. Fahami dan hayati firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud: “Sesesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.”