Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pemansuhan kadar tambang bagi semua jenis kenderaan itu bakal meringankan beban semua pengguna  khususnya bagi mereka yang menetap di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, buat masa ini kadar tambang perkhidmatan feri bagi kenderaan komersil termasuk bas, lori dan treler dilihat agak  membebankan.

"Mulai tahun depan, kita (kerajaan negeri) akan memansuhkan bayaran tambang feri di negeri ini sekali gus membolehkan pengguna semua jenis kenderaan menikmati perkhidmatan feri secara percuma.

"Saya sudah telah mengarahkan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing untuk mengira kos perlu dibayar kerajaan negeri kepada pengusaha feri jika bayaran perkhimatan mereka dihapuskan kelak," katanya semasa Majlis Minum Petang Bersama Media di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, kadar bayaran bagi setiap kenderaan persendirian dikenakan caj RM1 untuk satu perjalanan, manakala kenderaan besar ialah RM5.

Kenderaan komersil pula dikenakan caj antara RM100 hingga RM400 untuk satu perjalanan bergantung kepada jenis kenderaan digunakan.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, rancangan pembinaan sistem transit aliran ringan (LRT) yang dicadangkan sebelum ini akan ditangguh dahulu.

Katanya, projek LRT hanya akan dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan mendesak memandangkan kerajaan negeri sekarang memberi tumpuan terhadap pembangunan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih dan jalan raya untuk rakyat di kawasan luar bandar.

"Sehingga kini, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM1 bilion untuk penyelesaian jangka pendek bagi masalah itu.

"Manakala projek saluran paip grid daripada empangan ke rumah penduduk bagi rancangan jangka panjang juga diteruskan," ujarnya. - K! ONLINE