Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N. Ganabaskaran berkata, pemanjangan waktu operasi di sesetengah klinik kesihatan terbukti dapat menangani masalah kesesakan di sesetengah hospital yang sering berlaku kesesakan.

Beliau juga mencadangkan agar dilaksanakan pengagihan semula tenaga manusia yang amat diperlukan dengan melaksanakan desentralisasi perkhidmatan jauh dari Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) yang sentiasa sibuk.

"Waktu operasi yang lebih panjang di Klinik Kesihatan, misalnya di KK Kuala Lumpur, telah dapat mengalihkan sedikit beban dari Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL (Hospital Kuala Lumpur), tetapi pemanjangan waktu operasi juga hendaklah diperluaskan ke semua KK di negara ini dengan menambah perkhidmatan yang ditawarkan.

"Oleh itu, pelaburan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan-perkhidmatan rawatan utama dapat mengurangkan beban di hospital-hospital," katanya kepada Bernama. - K! ONLINE