Namun ia bukan berkaitan bahang bola sepak sebaliknya mengenai cadangan penutupan sekolah tahfiz oleh seorang bekas menteri baru-baru ini.

Rabu lepas penulis berkesempatan berbual dengan seorang rakan yang dikenali sebagai Hanz ketika minum pagi di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Perbualan berkisar mengenai coretan bekas Menteri Pe­nerangan, Tan Sri Zainudin Maidin atau Zam berhubung cadangan menutup sekolah tahfiz.

Zam menerusi catatan dalam blognya mencadangkan semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup kerana tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baharu Islam.

Menyentuh perbualan dengan Hanz, dia menafikan pelajar tahfiz tidak mempunyai masa depan dengan mengambil misalan seorang pelajar perempuan yang hafal al-Quran di kampungnya di Pulau Pinang.

Selepas bergelar hafizah, pelajar itu mengambil pe­periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) di Perak sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang kejuruteraan.

Selepas menamatkan pengajian di USM, pelajar itu menyam­bung pelajaran di Kanada selama dua tahun dan ketika ini pada usia 39 tahun dia merupakan seorang profesor di Universiti Osaka, Jepun dan menetap di negara matahari terbit itu bersama ibunya.

Ini antara satu misalan kecil kejayaan pelajar tahfiz yang didakwa oleh Zam tidak mempunyai masa depan.

Penulis tidak menafikan kewujudan sekolah tahfiz yang ‘memeningkan kepala’ banyak pihak kerana ditubuhkan secara tidak sah, pentadbiran lemah, tenaga pengajar kurang kemahiran dan kemudahan yang terhad.

Namun penulis merasakan ia tidak perlu ditutup sebaliknya sekolah tahfiz swasta ini ditambah baik dan dikawal dengan efisien dan sistematik oleh kerajaan.

Pemantauan juga perlu dibuat dari aspek modul pengajian yang seimbang antara agama, hafazan dan akademik selain kemahiran, teknikal serta ilmu teknologi yang selaras de­ngan tuntutan semasa serta masa depan.

Usah disebabkan segelintir pusat yang bermasalah semua sekolah tahfiz dipersalahkan, ibarat nila setitik rosak susu sebelanga.

Satu perkara yang penulis mahu sentuh ialah kewujudan sekolah tahfiz yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini adalah disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan pelajar serta ibu bapa.

Kesedaran dalam kalangan anak-anak juga semakin me­ningkat ekoran dorongan yang diterapkan ibu bapa sejak kecil.

Penulis pernah mencoret isu sekolah agama menerusi komentar pada 26 Januari lalu mengenai harapan ibu bapa pada sekolah agama yang antara lain mendedahkan mengenai kemudahan SMA di Kuala Lumpur yang terdapat tiga buah sahaja berbanding permintaan yang tinggi dalam kalangan pelajar di ibu negara.

Pada 1 Mac 2018 pula, penulis mencatat komentar mengenai pendidikan agama dan Revolusi Industri 4.0 yang menyentuh mengenai kepentingan pendidikan agama dan tahfiz bagi me­lahirkan modal insan yang berintegriti dalam pelbagai bidang profesional untuk menjadi pemimpin pada masa depan.

Kemurahan hati rakyat Malaysia yang sedia mewakafkan tanah serta menyumbang kepada sekolah tahfiz juga mendorong kewujudan banyak institusi agama itu.

Namun, usahlah menyalahkan masyarakat yang mahu beramal demi pembangunan agama dan negara.

Usah menuding jari mencari salah, sebaliknya kita perlu menggembleng tenaga, idea, masa dan wang ringgit untuk membangunkan sekolah tahfiz yang mampu menjadi model ikutan dunia.