Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, semasa pemeriksaan dijalankan pekerja kilang tersebut telah mengemukakan kad kebal yang kononnya dapat melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit dan diperolehi dengan bayaran sebanyak RM2,600 untuk sekeping kad.

“Jabatan Imigresen ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami tidak pernah mengiktiraf dan tidak pernah membenarkan mana-mana pihak untuk mengeluarkan sebarang kad seperti kad kebajikan, kad imigran, kad kebal atau lain-lain kad yang kononnya kad ini memberi perlindungan kepada PATI daripada tindakan undang-undang.

“Di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 ada memperuntukkan kesalahan individu yang didapati melindungi PATI di Malaysia yang mana pesalah bagi perkara ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000,” katannya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Operasi yang bermula pada jam 11 pagi itu diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI), Mohd. Adli Abd Samad bersama sepasukan 33 orang Pegawai Imigresen dari Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Imigresen Putrajaya. 

Menurut Mustafar, kehadiran sepasukan Pegawai Imigresen di lokasi kilang tersebut tidak mendapat kerjasama dari pekerja kilang sehingga anggota operasi terpaksa memecahkan pintu masuk utama kilang. 

Ujar beliau, sejurus pintu berjaya dibuka dan pihak berkuasa memperkenalkan diri, pemeriksaan menyeluruh di kilang tersebut dilakukan. 

“Seramai 13 orang telah diperiksa dan hasil pemeriksaan telah menahan seramai empat lelaki dan lima perempuan warganegara asing yang di syaki melakukan pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

“Mereka yang ditahan termasuk dua lelaki warga India, dua lelaki warga Bangladesh dan lima orang perempuan warga Indonesia,” katanya. - K! ONLINE