Alhamdulillah, pada tahun 2018 laman web Kos­mo! Online mencatatkan peningkatan berbanding pada tahun sebelumnya de­ngan peningkatan sebanyak 120 peratus pelayar unik yang melayari laman web kami.

Angka itu menunjukkan satu anjakan yang menyuntik semangat kepada Kosmo! Online untuk menyajikan bahan berita yang lebih pantas kepada pembaca sedia ada dan baharu pada tahun ini.

Tidak ketinggalan, peningkatan juga ditunjukkan oleh media sosial Kosmo! Online te­rutamanya, Instagram rasmi kami yang kini berjaya mengumpul lebih 500,000 pengikut, sejak dua minggu lalu.

Turut memberi kebanggaan kepada kami adalah apabila sembilan gambar paling banyak meraih tanda suka sepanjang 2018 atau bestnine 2018 di Instagram berjaya mencatatkan 14 juta tanda suka menerusi lebih 5,000 posting gambar yang dipaparkan sepanjang tahun itu. Ia menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding 7 juta tanda suka pada 2017.

Sehubungan itu, penulis berharap pembaca Kosmo! dan pengikut Kosmo! Online agar terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi pada tahun-tahun yang mendatang ini.

Berbalik kepada 2019 yang masih berada pada bulan Januari ini pula, penulis agak pelik apabila tahun ini begitu sukar untuk mendapatkan kalendar tahun baru.

Ia bukan berlaku hanya kepada penulis, malah juga terhadap beberapa teman yang bekerja di organisasi lain.

Kebiasaannya, setiap akhir tahun akan ada beberapa syarikat terutama swasta yang bermurah hati mengedarkan kalendar syarikat mereka untuk kegunaan kami yang bertugas sebagai wartawan ini.

Malangnya pada tahun ini, tiada satu pun kalendar yang tiba ke tangan penulis, malah ketika membeli-belah pakaian sekolah anak pun tiada lagi ‘kalendar kuda’ yang biasanya diselitkan sebagai pemberian percuma.

Seorang rakan dari agensi kerajaan ada membe­ritahu bahawa agensinya tidak lagi mencetak kalendar pada tahun ini seperti kebiasaan kerana ‘bajet ketat’.

Seorang lagi rakan dari syarikat beli-belah dalam talian terkemuka turut menyuarakan perkara yang sama apabila kalendar tidak dicetak pada tahun 2019 seperti kebiasaan.

Nampaknya, 2019 merupakan tahun tanpa kalendar buat penulis dan empat lagi rakan di Kosmo! Online yang menyebabkan kami berlima terpaksa berkongsi satu kalendar.

Kalendar sebenarnya sangat penting kepada kami misalnya untuk merancang cuti sekolah, cuti umum, cuti hari raya selain menanda kerja lebih masa.

Seorang rakan penulis yang bercerita tentang betapa sukarnya dia memperoleh kalendar 2019 tetapi akhirnya berjaya mendapatkannya secara percuma di sebuah restoran makanan segera.

“Selepas ditawarkan akan mendapat satu kalendar percuma jika membeli dua set besar makanan di sebuah restoran makanan segera, aku terus membuat pembelian. Itulah satu-satunya kalendar yang aku dapat pada tahun ini,” ceritanya gembira.

Kesimpulannya bagi penulis secara peribadi, 2019 merupakan tahun tanpa kalendar dan ada kaitan dengan bajet ‘ketat’ syarikat-syarikat besar yang pada tahun ini kurang mengedarkan kalendar percuma.