Bukan hendak bercakap tentang laman sosial, tetapi untuk penulis secara peribadinya, hasil kerap membaca pautan-pautan perkongsian dalam laman sosial, ditambah dengan kerja hakiki sebagai pengamal media, penulis ikut tertarik de­ngan drama bersiri dan pemilihan penerima Anugerah Saste­ra Negara (ASN) ke-14 yang boleh dikatakan sangat dramatik bagi penggiat seni sastera tanah air.

Memihak kepada Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, 69, penganjuran ASN yang tidak dibuat secara tahunan daripada satu sisi yang lain memberi gambaran bahawa elemen kontroversi atau sensasi begitu sebati dengan budaya sekarang.

Jadi, siapa kata dunia sastera tidak boleh menjadi medium yang popular. Jika tidak, masakan ASN yang selalunya diberikan kepada penerima bukan orang muda yang panas dan sensasi itu menjadi sesuatu yang rajin diperkatakan khalayak, khususnya orang sastera.

Dipendekkan cerita, biarpun tidak layak untuk meletakkan diri sebagai peminat dunia penulisan, sastera Melayu khususnya, penulis tetap merasakan pemilihan Siti Zainon sebagai penerima ASN paling mutakhir tetap memekarkan semangat siapa sahaja, peminat mahupun penulis, penyair Melayu, khususnya golongan wanita. Penulis tumpang ucap tahniah.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1981, Siti Zainon menjadi individu ke-14 bergelar Saste­rawan Negara (SN), sekali gus menjadikan anak kelahiran Gombak, Kuala Lumpur itu penulis wanita kedua Malaysia yang menerima gelaran ter­tinggi dalam dunia sastera dan pembangunan bahasa Melayu itu selepas Datuk Dr. Zurinah Hassan dinobatkan sebagai SN ke-13 pada tahun 2015.

Dalam kalangan penggiat dan peminat sastera, seni dan budaya Nusantara, Siti Zainon telah lama disifatkan sebagai ‘penyair puteri’ Tanah Melayu yang aktif dengan pelbagai penyertaan dalam seminar mahupun pertemuan para ilmuan seni di Indonesia.

Hubungan jiwa Siti Zainon dengan Indonesia juga sangat dekat kerana pernah melanjutkan pendidikan di Institut Seni Indonesia sekitar tahun 1970-an.

Di Indonesia, ada yang menggelarkan Siti Zainon sebagai Penyair Muslimat hasil pengamatan terhadap sajak-sajaknya yang berjiwa wanita lagi disuburkan semangat Islam. Tahniah Siti Zainon!

Bercakap tentang penulisan, sebelum berkhidmat di Kosmo!, salah sebuah penerbitan Kumpulan Utusan ini, wartawan surat khabar tidak pernah tersemat dalam senarai cita-cita penulis.

Bagaimanapun, karier bukan pilihan ini masih mengalir dalam tubuh yang sudah berusia empat dekad ini sejak 3 Ja­nuari tahun 2005.

Sebelum melanjutkan pe­ngajian di menara gading, cita-citanya si wanita yang asalnya sangat comot dari sebuah perkampungan di Pantai Timur ini, hanyalah guru. Kenapa ‘ha­nyalah’, sebabnya hanya guru sahaja profesion paling profesional yang setiap hari terbutir dari bibirnya sepanjang bergelar murid sejak tadika hingga tamat sekolah menengah.

Kalau bukan guru, percaya atau tidak, karier pilihan yang diangankan adalah penulis! Ya, penulis. Berbunyi sangat umum, tetapi itulah yang dinamakan angan-angan. Pada akhirnya, kini selepas berbelas tahun mencurah keringat dan kecintaan dalam kewartawanan surat khabar, dunia ini sedang berdepan gelora yang cukup mencabar. Paling sakit, apabila komitmen masih 100 peratus ditagih tetapi setiap hari harus berdikit mencatu belanja demi menunggu gaji bulanan yang sering tertunda.

Ketika ini, sesekali terfikir juga, alangkah bagusnya jika bergelar guru atau penjawat awam lain - gaji stabil dan saat tua nanti ada ganjaran pencen.

Namun sekarang jaminan semakin samar. Ura-ura skim pencen penjawat awam yang akan dikaji semula, sama ada dihapuskan untuk diganti skim lain, sebenarnya agak gila. Pokok-pangkalnya, ketika cabaran dunia sedang menggila, pilihlah untuk bahagia dengan cara paling normal dan seadanya. Untuk tempoh terdekat ini, saya bahagia dengan puisi Perjalanan Di Bukit Senja, sebuah karya Siti Zainon yang memberi bayangan visual buat pencinta semesta.