Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, belum ada kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku membabitkan sekolah pondok atau maahad tahfiz, khususnya selepas pemeriksaan dan pendawaian semula elektrik dilakukan di premis terlibat.

"Selepas penubuhan HLC (High Level Committee @ Jawatankuasa Peringkat Tertinggi) serta peruntukkan RM30 juta yang diberikan Perdana Menteri, setakat ini belum ada tahfiz yang kita tekuni pembangunannya, kita buat pendawaian semula, dilaporkan berlaku perkara-perkara negatif seperti kebakaran dan sebagainya.

"Mudah-mudahan hal ini dapat kita kawal dengan baik. Anak-anak, pelajar ini, apabila berlaku kejadian tidak diingini, jiwa kita sebagai kerajaan akan merasai satu kehilangan kerana mereka adalah anak bangsa yang mempunyai potensi besar pada masa hadapan. Sebab itu kita mahu lihat mereka mendapat penjagaan sama rata di semua peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikanSeminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Institusi Tahfiz dan Pondok 2018 peringkat negeri Kedah di Dewan Sri Zaleha, Naza Automotive Gurun, di sini, hari ini. - Bernama