Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, masalah tersebut berlaku berikutan ia digunakan dalam pelbagai jenis tanaman sekali gus membahayakan nyawa seluruh rakyat di negara ini.

Jelasnya, masalah itu lebih serius membabitkan negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran seperti Perak, Kedah, Perlis dan Kelantan.

"Sebagai contoh, racun jenis paraquat yang hanya dijual secara terhad dan perlu mendapatkan permit. Selain itu, ia juga hanya boleh digunakan pada tanaman pokok kelapa sawit berusia dua tahun ke bawah, nanas, getah dan padi bukit.

"Sekiranya racun itu tidak terkawal dan digunakan pada tanaman lain, ia akan memberi mudarat kepada tanaman sekali gus membahayakan makanan kita," katanya pada sidang akhbar di Wisma Tani di sini hari ini.

Terdahulu, Jamal Harizan dalam sidang akhbar memaklumkan Unit Serbuan, Bahagian kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian telah merampas pelbagai racun makhluk perosak bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di lima buah premis di Kinta dan Pengkalan Hulu di Perak.

Jelasnya, operasi yang dijalankan pada 27 hingga 29 November lalu itu merampas racun makhluk perosak bagi kawalan rumpai dan serangga yang mengandungi perawis aktif yang tidak berdaftar.

Jamal Harizan berkata, racun makhluk perosak tidak berdaftar dijual pada harga lebih murah berbanding harga racun berdaftar dan menyebabkan golongan petani memilih jalan mudah untuk penjimatan dengan membeli racun serangga tersebut.

“Racun paraquat yang tidak berdaftar dijual pada harga RM120 untuk dua liter berbanding racun berdaftar yang berharga RM160.

“Selain menjejaskan keselamatan makanan, penggunaan racun tidak berdaftar juga membahayakan kesihatan orang ramai dan merosakkan tanaman," katanya. - K! ONLINE