Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kesihatan subjek termasuk laporan penuh bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Sepanjang dalam tahanan Imigresen, subjek yang didakwa ditahan secara tidak sah bersama tahanan lain dilayan dengan berhemah dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) menguruskan tahanan oleh semua Pegawai Imigresen bertugas di Depoh Imigresen Bukit Jalil (DIBJ).
 
“Ketika kejadian pada 9 Julai lalu kira-kira pukul 12.05 tengah malam, pegawai bertugas dimaklumkan oleh tahanan lain subjek tiba-tiba diserang sawan ketika sedang tidur," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Tambahnya, Unit Rawatan Khas yang bertugas telah mengambil tindakan pemeriksaan dan rawatan serta merta sebelum menghubungi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bantuan segera.
 
“Ambulan HUKM tiba bersama seorang Penolong Pegawai Perubatan pada pukul 12.30 tengah malam dan terus melakukan pemeriksaan sebelum subjek disahkan meninggal dunia.

"Pegawai penyelia dan pegawai bertugas kemudian telah pergi ke Balai Polis Bukit Jalil untuk membuat laporan polis,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, subjek, Thomas Orhions Ewansiha ditahan dalam operasi bersepadu pada 4 Julai lalu di Desa Aman Puri, Kuala Lumpur. - K! ONLINE