Rishaal Ilyanna Mohd. Rawi, 39, berkata, beliau terkejut dan sedih apabila mendengar khabar angin yang tersebar mendakwa kedua-dua akhbar terbabit akan menghentikan cetakannya mulai hari ini.

"Sepanjang dua hari ini, saya mengikuti rapat perkembangan semasa dan berasa lega apabila pengurusan kanan Kumpulan Utusan memberi jaminan akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia tidak akan berkubur.

"Pagi ini, saya cepat-cepat membeli kedua-dua akhbar berbahasa Melayu terbabit daripada kedai berhampiran sebagai tanda sokongan," katanya ketika ditemui Kosmo! di Taman Permai Jaya, Chukai di sini hari ini.

Rishaal Ilyanna yang merupakan seorang pengusaha restoran berkata, beliau menyukai corak pemberitaan Kosmo! yang santai manakala Utusan Malaysia pula merupakan bacaan seisi keluarga sejak dahulu lagi.

Beliau yang bersimpati dengan masalah kewangan yang menghimpit Kumpulan Utusan berazam terus membeli Kosmo! dan Utusan Malaysia pada setiap hari sebagai tanda sokongan. - K! ONLINE