Bersama gambar itu, tertulis ayat berbunyi ‘Jangan tunggu berharta baru kita gembira, bahagia itu percuma’.

Membaca ayat itu membuatkan penulis terdiam dan berfikir panjang. Ditambah pula dengan lampiran gambar empat anak kecil yang tersenyum girang sekali pun hidup dalam kesusahan.

Benar. Tidak semua orang berharta itu bahagia dan tidak semua orang susah itu menderita. Semua keada­an itu ditafsirkan mengikut persekitaran, permasalahan dan situasi individu.

Bahagia Mohd. Syukur Khamis juga berbeza. Wajah naif anak kecil berasal dari Banggol Katong, Kuala Terengganu ini boleh ditafsirkan dalam pelbagai keadaan.

Hidup sebagai budak kampung, jauh dari kemo­denan teknologi tidak membataskan Syukur untuk mencari bahagia.

Hidupnya cukup ringkas. Bersekolah seperti anak-anak lain dan membesar seperti rakan sekampung.

Bezanya, Syukur dikurniakan kelebihan untuk berteman dan bersahabat dengan haiwan.

Ia terasa janggal jika kita bandingkan dengan anak-anak lain. Pada usia baharu mencecah 14 tahun, Syu­kur telah melalui rutin kehidupan yang luar biasa.

Berkubang dengan kerbau, berlari dengan kambing dan bersiul dengan burung. Semua itu  dilalui Syukur dengan gembira. Benarlah, bahagia itu percuma.

Syukur hanyalah budak kampung. Kehidupannya banyak dicorakkan oleh pengalaman seorang ayah.

Ayahnya juga bukan siapa-siapa. Seorang lelaki tua berusia 63 tahun yang telah menghabiskan separuh daripada usianya dengan menternak kerbau.

Namun, kesusahan yang dilalui Syukur telah menjadikan dirinya seorang yang matang. Dan pada hari ini, anak kecil itu telah menggemparkan dunia.

Pada ketika kita terpegun dengan setiap kepingan gambar yang dirakam jurugambar, seharusnya kita juga perlu berbangga dengan Syukur yang menjadi subjek indah kepada setiap potret itu.

Syukur sebenarnya menterjemahkan kehidupan hampir kebanyakan daripada rakyat Malaysia.

Hidup dalam suasana yang serba kekurangan, dihimpit tekanan, namun diakhirnya, kita masih mampu mencari bahagia.

Bezanya kita dengan Syukur ialah kita terlalu ba­nyak mengeluh. Kita mengkritik setiap isu, mencari ‘kambing hitam’ bagi setiap masalah dan menyalahkan pihak lain di sebalik dugaan.

Kita sering alpa. Terlalu mengikut emosi seolah-olah kesengsaraan itu tidak bernoktah. Mungkin juga kita lupa bahawa kesusahan itu hanya bersifat sementara.

Sampai satu ketika, kita perlu menerima hakikat bahawa tanpa harta kita sebenarnya masih boleh gembira.

Belajarlah daripada Syukur. Anak kecil ini mengajar kita bahawa hidup dalam kesusahan itu merupakan sebuah pengalaman. 

Pengalaman itu pula akan menjadikan kita seorang manusia yang tahu menghargai erti sebuah kesena­ngan. Tahu bersyukur dan tahu berterima kasih.

Masih belum terlambat untuk kita mencari bahagia. Kita hanya perlu berusaha dan berdoa semoga bahagia itu akan tiba.

Kepada Mohd. Syukur Khamis, terima kasih atas sebuah pengajaran.

Anda manusia luar biasa.