Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pada masa kini, pindaan tersebut hanya melibatkan persatuan yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

"Apa yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri itu adalah lain dan bukan di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat untuk menentukan. Jadi hanya yang berdaftar di bawah ROY akan meneruskan pindaan tersebut.

"Saya rasa ia adalah jalan untuk kita (kerajaan negeri dan kerajaan Pusat) untuk berkerjasama dengan lebih rapat di mana kerajaan persekutuan boleh membantu dalam menyasarkan bantuan kepada belia bawah 30 tahun, yang transisinya akan bermula pada Disember 2021," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Pada 3 Julai lepas, Syed Saddiq telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, masalah umur tidak menjadi masalah besar, apa yang penting adalah program yang menjurus kepada pembangunan belia. - Bernama