Telefon pintar tersebut dilengkapi dengan perkhidmatan menghantar mesej melalui satelit dan mampu menghantar isyarat kecemasan serta mempunyai berkeupayaan untuk mendapat liputan sebanyak 98 peratus tempat di seluruh dunia yang tidak mempunyai jaringan komunikasi selular menerusi 72 buah satelit milik syarikat Iridium. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan berbangga dengan produk yang dibangunkan oleh syarikat tempatan itu dan bakal menerajui perubahan serta produk tersebut bakal mendapat tempat dalam pasaran global. 

‘Saya berharap AdvanceTC Group akan terus meningkatkan teknologi tempatan dan membantu membangunkan jaringan perniagaan supaya terus maju. Saya juga berharap syarikat ini akan terus memberi inspirasi, kreativiti termasuk mendorong keusahawanan dalam kalangan generasi muda,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Xplore X7 dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara AdvanceTC Group dengan beberapa rakan strategik tempatan dan antarabangsa di sini hari ini. 

Empat MoU yang ditandatangani dengan syarikat tersebut ialah syarikat pelesenan aplikasi, QMIS GtechFin Limited, Hong Kong; Dana Generations Fund, Hong Kong; pembekal peralatan telekomunikasi VSAT, PT Citra Seri Makmur dan perjanjian jual beli saham, AdvanceTC Limited, Australia dengan QMIS Finance Securities Corp, Hong Kong. 

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd. Hatta MD. Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Ashran Ghazi. 

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, kerajaan akan terus memberikan sokongan terhadap aktiviti berkaitan dengan inovasi dan memainkan peranan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif. 

“Kami berharap dapat melihat lebih banyak model Triple Helix Innovation iaitu gabungan antara akademik, industri dan kerajaan pada masa depan,” kata beliau. 

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif AdvanceTC Group, Datuk Ahmad Ghiti Mohd. Dad menjelaskan, telefon tersebut bakal dipasarkan di rantau ini dalam tempoh dua bulan lagi namun tidak mendedahkan harga telefon tersebut. 

“Harga telefon ini adalah sangat kompetitif dan harganya adalah dalam lingkungan telefon pintar peringkat pertengahan yang berada di pasaran,” ujarnya. 

Tambah beliau, kos untuk menyewa talian komunikasi satelit ialah sebanyak RM40.70 sebulan dan penghantaran mesej dikenakan sebanyak RM1 bagi satu mesej. - K! ONLINE