Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pindaan itu diwartakan pada 10 Mei lepas yang bertujuan menghapuskan caj tersembunyi seperti caj pembayaran kad dan yuran pentadbiran.

"Syarikat penerbangan perlu menzahirkan harga muktamad tiket penerbangan bagi tujuan pengiklanan dan juga sewaktu pembelian tiket.

"Harga muktamad itu merangkumi tambang asas termasuk semua caj yang perlu dibayar kepada syarikat penerbangan, cukai dan fi yang dikenakan oleh kerajaan, fi dan caj yang ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan juga surcaj bahan api," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran aplikasi mudah alih FlySmart serta mengumumkan pindaan MACPC itu. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Dr. Nungsari Ahmad Radhi.

"MACPC mengandungi takrif serta tatacara berkaitan hak-hak pengguna penerbangan serta proses untuk membuat aduan. Ia juga menggariskan penalti kewangan yang boleh dikenakan kepada syarikat sekiranya didapati tidak mematuhi kod perlindungan pengguna ini," kata Kamarudin tanpa menjelaskan kadar penalti yang ditetapkan.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan serta pemain industri penerbangan menyokong pindaan baharu yang ditetapkan Mavcom itu dalam usaha mempertingkatkan perlindungan hak-hak pengguna serta mutu perkhidmatan dalam industri penerbangan.

Antara pindaan baharu ditetapkan dalam kod perlindungan pengguna itu adalah pembayaran balik tiket penerbangan perlu diremit kepada pengguna penerbangan dalam masa 30 hari daripada tarikh permohonan bayaran balik.

Syarikat penerbangan juga hanya dibenarkan mengenakan fi pemprosesan maksimum sebanyak lima peratus sekiranya tiket yang dibeli tiada nilai bayaran balik.

Sementara itu, Nungsari berkata, FlySmart telah dinaik taraf kepada aplikasi mudah alih bagi memudahkan pengguna mengakses laman web itu melalui telefon bimbit mereka.

FlySmart telah diperkenalkan pada Jun 2018, ia merupakan laman web yang mengandungi maklumat berhubung hak-hak pengguna, tip perjalanan dan platform untuk pengguna membuat aduan berkenaan khidmat penerbangan. - Bernama